Tuesday, May 22, 2012


Perlembagaan

UNDANG–UNDANG DAN PERLEMBAGAAN PERSATUAN RADIO AMATOR MELAYU MALAYSIA (ASTRA)
No Pendaftaran: PPM/PRK 1787/97.PPP/PRK 0198/97 626
KANDUNGAN
Fasal 01 – NAMA
Fasal 02 – TEMPAT URUSAN / ALAMAT SURAT MENYURAT / E-MEL / LAMAN SESAWANG DAN PENGULANG
Fasal 03 – LAMBANG / LOGO
Fasal 04 – TUJUAN / MATLAMAT
Fasal 05 – KEAHLIAN
Fasal 06 – BAYARAN MASUK, YURAN KEAHLIAN DAN PUNCA PENDAPATAN
Fasal 07 – PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
Fasal 08 – MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
Fasal 09 – JAWATANKUASA
Fasal 10 – KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI / JAWATANKUASA
Fasal 11 – KEWANGAN
Fasal 12 – PEMERIKSA KIRA-KIRA
Fasal 13 – PENGAMANAHAN
Fasal 14 – TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
Fasal 15 – PENAUNG / PENASIHAT
Fasal 16 – LARANGAN
Fasal 17 – PINDAAN UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN
Fasal 18 – PEMBUBARAN
Fasal 19 – PENJELASAN / HURAIAN / TAARIF
Fasal 01 – NAMA
Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN RADIO AMATOR MELAYU MALAYSIA atau ringkasnya ASTRA yang selepas ini disebut PERSATUAN.
Fasal 02 – TEMPAT URUSAN / ALAMAT SURAT-MENYURAT / E-MEL / LAMAN SESAWANG DAN PENGULANG
Alamat tetap, alamat surat-menyurat (tempat urusan), alamat e-mail rasmi, laman sesawang rasmi dan pengulang PERSATUAN adalah seperti berikut;
2.1. Alamat Tetap PERSATUAN : F253, Sungai Betul Atas,
34250 Tanjung Piandang,
Perak Darul Ridzuan.
2.2. Alamat Surat-Menyurat PERSATUAN
(Tempat Urusan Rasmi PERSATUAN) : Mengikut alamat semasa yang dipersetujui oleh Jawatankuasa PERSATUAN yang dilantik pada tahun semasa.
2.3. Alamat e-mel Rasmi PERSATUAN : admin@astra.org.my
2.4. Laman Sesawang Rasmi PERSATUAN : http://www.astra.org.my
2.5. Pengulang PERSATUAN : Seperti yang dipapar di laman Sesawang rasmi PERSATUAN
atau di Fasal 2.2.4.
Fasal 03 – LAMBANG / LOGO
3.1. Penerangan mengenai Lambang/Logo PERSATUAN;
a. Bingkai lambang PERSATUAN adalah berbentuk “parabola” dengan di dalamnya terdapat “antenna” dan “earth” yang melambangkan kegiatan radio amator iaitu kegiatan utama PERSATUAN. Di dalamnya terdapat perkataan ASTRA yang merupakan singkatan “PERSATUAN RADIO AMATUR MELAYU MALAYSIA” atau sebelum ini dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai “The Malay Amateur Radio Society of Northern Peninsular Malaysia”.
b. Warna biru melambangkan paduan antara langit, laut dan bumi yang melambangkan perpaduan. Warna Kuning bermaksud pemerintahan beraja dan padi yang merupakan hasil utama negeri-negeri kawasan utara. Warna merah melambangkan keberanian, kegigihan dan kecekalan ahli PERSATUAN menghadapi pelbagai cabaran. Warna putih melambangkan kebersihan, keikhlasan dan keluhuran PERSATUAN dalam mengembangkan bidang radio amator kepada orang Melayu.
c. Lambang ® melambangkan logo persatuan yang telah dipaternkan dan mana-mana ahli PERSATUAN, orang perseorangan, persatuan-persatuan lain, badan kerajaan, badan swasta atau NGO yang menggunakan logo PERSATUAN hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari Jawatankuasa PERSATUAN yang dipilih dan sebarang bayaran sebagai hadiah atau loyalti akan ditentukan oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
Fasal 04 – TUJUAN / MATLAMAT
4.1. Meningkatkan pengetahuan sains dan amalan komunikasi radio amator bagi menggalakkan pertukaran maklumat diantara sesama ahli serta melindungi kepentingan bersama.
4.2. Mengadakan sebarang perjumpaan ahli-ahli PERSATUAN mengenai latihan dan perbincangan mengenai komunikasi radio amator serta menerbitkan buletin jika dirasakan perlu oleh Jawatankuasa mengenai sains radio serta amalan yang berkenaan.
4.3. Memupuk semangat perpaduan disamping menanam tatacara hidup berdikari sambil mengenali prinsip hidup berdisplin dikalangan ahli-ahli PERSATUAN serta menggalakkan minat orang ramai dalam bidang sains radio amator.
4.4. Memberi khidmat bakti kepada negara terutama sekali badan-badan kerajaan dan masyarakat sekeliling dalam kerja-kerja alam luas kemasyarakatan dan perkhidmatan kebajikan, aktiviti sosial dan lain-lain aktiviti yang berfaedah dalam bidang perhubungan sains radio amator.
4.5. Mengadakan jalinan kerjasama dengan badan-badan kerajaan atau swasta atau lain-lain persatuan atau kelab atau NGO yang sah dan berdaftar dengan Jabatan Pertubuhan Malaysia dalam menjalankan kegiatan yang memberikan manfaat bersama kepada ahli dan PERSATUAN.
4.6. Menyatu, menyusun dan mengembeling tenaga serta menjalankan kegiatan atau aktiviti yang tidak bercanggah dengan Undang-Undang Negara bagi mencapai matlamat PERSATUAN khasnya dalam bidang pembangunan sains radio amator untuk negara.
4.7. Menerima sebarang hadiah, derma, sumbangan, dan lain-lain yang diberi kepada PERSATUAN untuk kegiatan dan kemajuan PERSATUAN.
4.8. Mengadakan perundingan dan kerjasama dengan pihak kerajaan dalam semua perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat perlesenan radio amator kepada ahli PERSATUAN.
4.9. Memajukan pengetahuan tentang aspek-aspek dan latihan dalam bidang komunikasi secara amator sebagai teknologi dan kemajuan masakini dan masa depan ahli dan PERSATUAN.
4.10. Berusaha menyediakan pancar ulang, peralatan pameran, rumah PERSATUAN, bengkel dan segala kemudahan dengan menggunakannya dan menjaga harta tersebut untuk digunakan oleh semua ahli PERSATUAN.
4.11. Merupakan satu badan yang memberi latihan tentang komunikasi serta menjalankan pemancaran dan penerimaan siaran mengikut Akta yang dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia.
Fasal 05 – KEAHLIAN
5.1. PERSATUAN ini mempunyai lima (5) jenis keahlian iaitu;
5.1a AHLI BIASA
Terbuka kepada semua orang Melayu atau Bumiputera yang beragama Islam, warganegara Malaysia, lelaki dan perempuan yang menetap di Malaysia, berumur 14 tahun ke atas dan memiliki Lesen Pemancaran Radio Amator (Amateur Radio Transmitting License) yang sah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia. Ahli biasa dikehendaki membayar yuran tahunan setiap tahun serta yuran lain atau dana lain seperti yang ditetapkan bayarannya oleh jawatankuasa PERSATUAN.
5.1b AHLI SEUMUR HIDUP
Terbuka kepada semua orang Melayu atau Bumiputera yang beragama Islam, warganegara Malaysia, lelaki dan perempuan yang menetap di Malaysia, berumur 14 tahun ke atas dan memiliki Lesen Pemancaran Radio Amator (Amateur Radio Transmitting License) yang sah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia. Ahli seumur hidup perlu membayar atau menjelaskan yuran keahlian sekaligus (tiada yuran tahunan) serta membayar yuran lain atau dana lain seperti yang telah ditetapkan bayarannya oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
5.1c AHLI BERSEKUTU
Terbuka kepada semua orang bukan Melayu, lelaki dan perempuan yang menetap di Malaysia, berumur 14 tahun ke atas dan memiliki Lesen Pemancaran Radio Amator (Amateur Radio Transmitting License) yang sah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau lesen pemancaran dari negara lain yang diperakui atau diterima pakai atau disahkan oleh kerajaan Malaysia . Ahli bersekutu dikehendaki membayar yuran tahunan setiap tahun serta yuran lain atau dana lain seperti yang ditetapkan bayaranannya oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
5.1d AHLI SWAL
Untuk tujuan latihan dan kemahiran berkomunikasi dengan cara yang betul sebelum memperolehi lesen radio amator yang sah, PERSATUAN membuka keahlian SWAL kepada semua orang Melayu atau Bumiputera yang beragama Islam, warganegara Malaysia, lelaki dan perempuan yang menetap di Malaysia, berumur 14 tahun ke atas, berminat dengan komunikasi radio amator tetapi tidak memiliki Lesen Pemancaran Radio Amator (Amateur Radio Transmitting License) yang sah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia.
Ahli SWAL dikehendaki membayar yuran tahunan setiap tahun serta yuran lain atau dana lain seperti yang ditetapkan bayarannya oleh jawatankuasa PERSATUAN. Seseorang ahli SWAL dengan secara automatik menjadi ahli biasa PERSATUAN selepas beliau memperolehi lesen radio amator yang sah dari Kerajaan Malaysia. Pengendali radio amator yang mempunyai lesen pemancaran radio amator yang sah dari Kerajaan Malaysia tidak layak menjadi ahli SWAL.
5.1e AHLI KEHORMAT
a) Ahli Kehormat adalah keahlian yang diberikan kepada orang perseorangan atau ahli PERSATUAN atau bekas ahli PERSATUAN yang telah berjasa kepada PERSATUAN atau yang difikirkan dapat memberi manfaat atau faedah kepada PERSATUAN setelah diputuskan oleh Jawatankuasa PERSATUAN pada bila-bila masa.
b) Ahli Kehormat tidak dikenakan sebarang bayaran masuk dan yuran tahunan, akan tetapi Ahli Kehormat adalah berhak menggunakan apa-apa kemudahan PERSATUAN.
c) Secara automatik ahli PERSATUAN akan hilang status atau kelayakan sebagai keahlian PERSATUAN sedia ada beliau, selepas dianugerahkan keahlian Kehormat daripada jawatankuasa PERSATUAN.
d) Ahli Kehormat adalah tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam PERSATUAN dan mengundi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan PERSATUAN.
e) Ahli PERSATUAN yang diberikan status ahli Kehormat daripada Jawatankuasa PERSATUAN tidak berhak membuat tuntutan balik yuran keahlian semasa beliau menjadi ahli PERSATUAN dalam salah satu Fasal 5.5.1a, 5.5.1b, 5.5.1c dan 5.5.1d atau dengan kata lain Fasal 5.5.1e tidak boleh diguna pakai oleh ahli PERSATUAN yang ditukar status kepada ahli Kehormat.
f) Ahli Kehormat secara automatik terlucut sebagai ahli PERSATUAN sekiranya keahlian tersebut ditarik balik oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
5.2. Permohonan menjadi ahli di dalam Fasal 5.5.1a, 5.5.1b, 5.5.1c dan 5.5.1d hendaklah mengunakan borang “on-line” yang boleh didapapati melalui laman sesawang rasmi PERSATUAN. Semua maklumat dan bayaran yang diperlukan dalam borang on-line hendaklah diisi secara jujur, benar dan tepat. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan permohonan keahlian pemohon ditolak oleh Jawatankuasa PERSATUAN. Jawatankuasa PERSATUAN akan memproses semua borang permohonan dan menyokong atau boleh mengikut budi bicaranya untuk menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya kepada pemohon.
5.3. Permohonan keahlian atau mendaftar mengunakan atau melalui borang “on-line” di laman sesawang rasmi PERSATUAN dan pembayaran secara terus ke akaun PERSATUAN sahaja diperakuai oleh Jawatankuasa PERSATUAN. Semua nama permohonan beserta status keahlian yang telah mendapat sokongan atau diperakui oleh Jawatankuasa PERSATUAN akan dipamerkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN yang mana selepas itu dikenali sebagai Ahli PERSATUAN.
5.4. Permohonan keahlian menggunakan kaedah selain daripada borang “on-line” adalah tidak diterima pakai oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
5.5. Mana-mana ahli PERSATUAN adalah tidak dibenarkan menerima atau memungut sebarang wang secara tunai daripada orang perseorangan atau mana-mana jabatan dan agensi kerajaan atau pihak swasta atau NGO atau lain-lain persatuan.
5.6. Orang perseorangan atau mana-mana jabatan dan agensi kerajaan atau pihak swasta atau NGO atau lain-lain persatuan adalah dilarang atau ditegah menyerahkan bayaran wang tunai kepada mana-mana ahli PERSATUAN sebagai orang tengah sebaliknya bayaran tersebut hendaklah dimasukkan terus ke AKAUN PERSATUAN seperti yang dipaparkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN di Fasal 2.2.4.
5.7. Untuk menambah kewangan atau membantu PESATUAN mencari dana untuk kebaikan atau kegunaan PERSATUAN, pada Fasal 5.5.4 dan 5.5.5 dan 5.5.6 tidak boleh diguna pakai atau terbatal dengan kehendak atau kelulusan bertulis dari Jawatankuasa PERSATUAN pada tahun tersebut.
5.8. Selepas membuat permohonan menjadi ahli PERSATUAN pemohon atau individu tersebut dinasihatkan menyemak status keahlian di laman sesawang rasmi PERSATUAN selepas empat belas (14) hari bekerja dari tarikh permohonan dibuat. Sebarang aduan atau penyemakan keahlian hendaklah diajukan terus secara bertulis kepada alamat e-mail rasmi PERSATUAN di dalam Fasal 2.2.3 atau mengirimkan surat kepada setiausaha PERSATUAN ke alamat surat menyurat PERSATUAN di dalam Fasal 2.2.2 dalam masa enam puluh (60) hari selepas tarikh permohonan.
5.9. Kegagalan pemohon atau individu menyemak status keahliannya atau membuat aduan bertulis seperti yang dinyatakan dalam Fasal 5.5.8 dalam masa enam puluh (60) hari selepas tarikh permohonan menyebabkan pemohon hilang kelayakan menjadi ahli PERSATUAN dan pemohon dikehendaki mengemukan permohonan keahlian baru.
5.10. Hak, Tanggungjawab dan Batasan Ahli PERSATUAN
a) Ahli Persatuan berhak menghadiri mana-mana aktiviti dan menguna pakai segala kemudahan yang disediakan oleh PERSATUAN.
b) Ahli mengikut Fasal 5.5.1a dan 5.5.1b sahaja yang berhak mengundi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk pemilihan Jawatankuasa PERSATUAN.
c) Seseorang Ahli PERSATUAN dianggap telah berhenti dari menjadi ahli:
1) Jika ia berhenti atas permintaannya sendiri dengan syarat sekurang-kurangnya memberikan satu notis bertulis kepada Setiausaha Kehormat dalam tempoh dua (2) minggu terlebih dahulu dan menjelaskan segala hutangnya, atau
2) Jika ia tidak menjelaskan wang masuk menjadi ahli, wang yuran tahunan selama dua (2) tahun berturut-turut, atau
3) Jika ia tidak hadir sebanyak tiga (3) kali perjumpaan atau mesyuarat atau mana-mana gerakerjaaktiviti yang dikelolakan oleh PERSATUAN, dan sebaliknya ahli hendaklah memberitahu sebab-sebab ia tidak dapat hadir supaya dapat dipertimbangkan oleh Jawatankuasa, atau
4) Jika ia telah melakukan sesuatu atau bertindak dengan cara yang menentang kebaikan dan pencapaian PERSATUAN sama ada secara nyata atau tidak nyata, tersirat membantah, menyekat dan mendinginkan kegiatan serta kemajuan PERSATUAN dan ahli-ahli, atau
5) Jika ia mengeluarkan kata-kata kesat, lucah, perkauman, menghina mana-mana agama, menyiarkan sebarang rakaman atau memancarkan secara terus menerus sebarang perbualan atau perkara- perkara yang tidak sihat yang mana dilakukan secara sengaja atau tidak sengaja bertujuan untuk menjejaskan atau menjatuhkan maruah, melaga-lagakan dan menimbulkan prasangka dikalangan ahli atau lain-lain orang semasa berkomunikasi di udara, atau
6) Jika ahli didapati melanggar Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984:
i. Telah sabit kesalahan di bawah undang-undang lain dan dihukum denda tidak kurang daripada RM5000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu Sahaja) atau penjara tidak kurang daripada satu (1) tahun. (Hilang kelayakan ini terhenti apabila tamat tempoh lima (5) tahun dari tarikh dilepaskan daripada tahanan atau tarikh denda dikenakan); atau dikenakan perintah tahanan, sekatan, pengawasan, kediaman terhad, buang negeri atau pengusiran atau pencegahan jenayah; atau
ii. Bankrap, atau
iii. Tidak sempurna akal.
7) Kesalahan-kesalahan yang melibatkan:
i. Akta Kerajaan Malaysia, atau
ii. Akta Kastam dan Eksais DiRaja Malaysia, atau
iii. Kesalahan-kesalahan yang disabitkan dengan Kanun Keseksaan.
d) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang PERSATUAN atau bertindak dengan cara yang boleh mencemarkan nama baik PERSATUAN boleh digantung atau dipecat keahliannya atau apa-apa tindakan yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa PERSATUAN. Akan tetapi sebelum tindakan diambil ahli tersebut hendaklah diberi peluang empat belas (14) hari bagi menjelaskan sebab-sebab dan membela diri di atas tuduhan terhadapnya.
e) Selain daripada Jawatankuasa PERSATUAN, Presiden juga setelah berbincang dengan Jawatankuasa apabila pada fikirannya difikirkan perlu boleh menggantung buat sementara waktu mana-mana ahli untuk tempoh tidak lebih daripada sembilan puluh (90) hari sebelum apa-apa tindakan lain disahkan oleh Jawatankuasa PERSATUAN. Jika dalam tempoh tersebut, Presiden juga setelah berbincang dengan Jawatankuasa adalah berhak untuk menarik balik penggantungan tersebut sekiranya ada sebab-sebab yang munasabah untuk berbuat demikian.
f) Kuasa Pemecatan ahli atau penggantungan ahli adalah terletak di bawah kuasa Presiden dan Jawatankuasa PERSATUAN yang mana ianya tidak boleh dipertikan oleh mana-mana ahli persatuan atau membawa kes pemecatan atau penggantugan keahlian beliau ke mahkamah untuk dibicarakan.
g) Permohonan untuk menjadi ahli semula dari ahli-ahli yang telah diberhentikan atau dipecat atau berhenti dengan sukarelanya tidak akan dilayan kecuali dengan mendapat sokongan majoriti Jawatankuasa PERSATUAN.
h) Pemilihan Jawatankuasa Pengurusan PERSATUAN
I. Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi PERSATUAN merangkumi Presiden, Timbalan Presiden I, Timbalan Presiden II, Setiausaha Kehormat, Penolong Setiausaha Kehormat, Bendahari Kehormat dan lima (5) orang Ahli Jawatankuasa dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dari kalangan ahli dan terhad mengikut Fasal 5.5.1a dan 5.5.1b.
II. Ahli Jawatankuasa PERSATUAN kecuali Setiausaha Kehormat dicadangkan dan disokong dan dipilih dengan cara mengundi oleh ahli-ahli yang layak mengundi di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua Jawatankuasa yang dipilih boleh dilantik semula tiap-tiap tempoh dua (2) tahun. Setiausaha Kehormat akan dilantik oleh Presiden PERSATUAN.
III. Ahli Jawatankuasa PERSATUAN yang dipilih di dalam Mesyuarat Agung mestilah terdiri dari kalangan ahli mengikut Fasal 5.5.1a dan 5.5.1b sahaja dan mereka mestilah;
a. Mereka yang telah menjadi Ahli PERSATUAN selama TIDAK kurang dari dua (2) tahun atau lebih bermula dari tarikh kuatkuasa penerimaan mereka sebagai ahli PERSATUAN.
b. Mereka yang tinggal dan menetap selama TIDAK kurang dari dua (2) tahun atau lebih di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara sahaja.
IV. Ahli tidak dibenarkan menolak atau menarik diri daripada dicalon atau dipilih kecuali beliau mesti memberi alasan yang kukuh untuk tidak dilantik atau dicalonkan dan mendapat sokongan atau persetujuan daripada pengerusi mesyuarat.
V. Bantahan mengenai Jawatankuasa PERSATUAN yang dipilih atau dilantik hendaklah diajukan semasa Mesyuarat Agung pada tahun semasa. Sebarang bantahan selepas hari Mesyuarat Agung dijalankan tidak akan dilayan dan tidak akan diperakui oleh Jawatankuasa yang telah dilantik.
VI. Mana-mana Jawatankuasa yang dipilih tetapi terhad kepada Fasal 5.5.10(h)(III)(b) serta mendapat sokongan majoriti ahli semasa pemilihan adalah layak memegang jawatan dalam Jawatankuasa PERSATUAN.
Fasal 06 – BAYARAN MASUK, YURAN KEAHLIAN DAN PUNCA PENDAPATAN
6.1. Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan adalah seperti berikut:
a. Bayaran masuk/bayaran wajib sebagai ahli PERSATUAN = RM20.00
b. Ahli Biasa = RM30.00
c. Ahli Seumur Hidup = RM250.00 (tiada yuran tahunan)
d. Ahli Bersekutu = RM30.00
e. Ahli SWAL = RM20.00
f. Ahli Kehormat = Tiada yuran dikenakan termasuk dana pengulang
g. Kad Keahlian = RM10.00
h. Dana Pengulang (boleh dibayar secara ansuran) = RM250.00 (Wajib dibayar sekali seumur hidup)
6.2. Bayaran dalam Fasal 6.6.1 dan Fasal 6.6.5 boleh dipinda atau diubah oleh Jawatankuasa PERSATUAN yang dilantik dengan memanggil Mesyurat Agung Tahunan (AGM) untuk kelulusan pindaan dan mendapat sokongan MAJORITI daripada jumlah ahli PERSATUAN yang aktif pada tahun tersebut.
6.3. Sebarang perubahan atau ketetapan atau pengurangan atau diskaun bayaran yang diberi oleh Jawatankuasa PERSATUAN kepada ahli pada satu-satu tahun adalah muktamad dan tidak boleh dipertikai atau dibatalkan oleh Jawatankuasa yang baru dilantik pada tahun berikutnya, kecuali dengan memanggil mesyuarat khas atau mesyurat agung tahunan dengan memberi notis tiga puluh (30) hari kepada semua ahli dan pembatalan atau pertikaian tersebut hendaklah mendapat sokongan MAJORITI daripada jumlah ahli PERSATUAN yang aktif pada tahun tersebut.
6.4. Yuran tahunan hendaklah dijelaskan tidak lewat dari 31 hb. Mac pada tiap-tiap tahun.
6.5. Yuran Tahunan atau yuran setahun yang perlu dijelaskan oleh ahli PERSATUAN adalah seperti berikut:
a. Ahli Biasa = RM30.00
b. Ahli Bersekutu = RM30.00
c. Ahli SWAL = RM20.00
6.6. Contoh jumlah bayaran yang perlu dijelaskan semasa memohon sebagai ahli PERSATUAN;
a. Ahli biasa
Jumlah yang perlu dibayar = Bayaran Masuk/Wajib + Ahli Biasa + Kad Ahli
RM20 + RM30 + 10 = RM 60
b. Ahli Seumur Hidup
Jumlah yang perlu dibayar = Bayaran Masuk/Wajib + Ahli Seumur Hidup + Kad Ahli
RM20 + RM250 + 10 = RM 280
6.7. Ahli yang membiarkan hutangnya tertunggak sebanyak lebih dari jumlah yuran bagi dua (2) tahun secara berturut-turut, akan dengan sendirinya terhenti atau terlucut daripada menjadi ahli PERSATUAN dan Jawatankuasa PERSATUAN berhak tidak memaklumkan tentang perlucutan tersebut.
6.8. Ahli yang terlucut keahlian PERSATUAN disebabkan hutang tertunggak boleh membuat rayuan bertulis dan hantar ke alamat e-mail persatuan atau menulis surat kepada Setiausaha dalam tempoh enam puluh hari (60) dan ianya bergantung kepada Jawatankuasa untuk membuat keputusan.
6.9. Jawatankuasa PERSATUAN mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan yuran masuk semula bagi ahli PERSATUAN yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang tertunggak.
6.10. Yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan Jawatankuasa PERSATUAN. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang atau kutipan tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti berhutang kepada PERSATUAN.
6.11. Status ahli PERSATUAN;
a) AKTIF – Ahli PERSATUAN yang menjelaskan atau membayar yuran tahunan mengikut tempoh yang diberikan atau yang ditetapkan di dalam perlembagaan PERSATUAN Fasal 6.6.4 dan tidak mempunyai yuran keahlian tertunggak atau dana pengulang tertunggak yang ditentukan oleh Jawatankuasa PERSATUAN dan ahli mengikut Fasal 5.5.1a dan 5.5.1b berstatus keahlian AKTIF sahaja yang layak mengundi di dalam Mesyurat Agung untuk pemilihan Jawatankuasa PERSATUAN.
b) TAMAT TEMPOH – Ahli PERSATUAN yang tidak menjelaskan yuran tahunan mengikut tempoh yang diberikan atau yang ditetapkan di dalam perlembagaan PERSATUAN Fasal 6.6.4 atau mempunyai yuran tertunggak atau dana pengulang tertunggak yang ditentukan oleh Jawatankuasa PERSATUAN. Ahli yang berstatus TAMAT TEMPOH tidak layak dicalonkan serta mengundi di dalam Mesyurat Agung untuk pemilihan Jawatankuasa PERSATUAN.
c) MENINGGAL DUNIA – Ahli yang meninggal dunia.
d) TARIK DIRI – Ahli yang secara sukarela menarik diri dari menjadi ahli PERSATUAN.
e) BERHENTI – Ahli yang dipecat atau dilucut hak sebagai ahli PERSATUAN.
6.12. Punca pendapatan PERSATUAN akan diperolehi daripada;
a. Yuran Keahlian
b. Derma-derma
c. Ikhtiar-ikhtiar lain yang dipersetujui oleh Jawatankuasa PERSATUAN
d. Perniagaan / Koperasi
6.13. Perniagaan
a) PERSATUAN ini boleh menjalankan perniagaan dengan menubuhkan syarikat perniagaan atau Koperasi secara sah yang
b) Segala hasil keuntungan hendaklah digunakan untuk kepentingan, pembangunan serta kemajuan PERSATUAN dan ahli-ahli.
c) Keputusan untuk menubuhkan syarikat perniagaan atau Koperasi hendaklah diputuskan dan mendapat sokongan MAJORITI di dalam Mesyuarat Agung.
d) Ahli Jawatankuasa PERSATUAN secara Automatik menjadi Pengerusi atau lembaga pengarah atau Ahli jawatankuasa dalam Koperasi atau perniagaan yg ditubuhkan PERSATUAN.
Fasal 07 – PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI
7.1. Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli PERSATUAN, hendaklah memberi kenyataan bertulis dua (2) minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat dan menjelaskan segala hutangnya pada PERSATUAN.
7.2. Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang PERSATUAN atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik PERSATUAN boleh digantung atau dipecat keahliannya bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa menggantung atau memecat ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi penggantungannya atau pemecatannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya.
7.3. Jawatankuasa PERSATUAN mempunyai kuasa MUTLAK untuk memecat mana-mana ahli dengan hanya mendapat sokongan majoriti dari Jawatankuasa PERSATUAN. Mengikut Fasal 7.7.2, dengan atau tanpa memanggil mesyuarat khas ahli atau mesyuarat agung, pemecatan ahli PERSATUAN hanya di buat di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa PERSATUAN sahaja untuk tujuan tersebut. Keputusan pemecatan adalah muktamad.
Fasal 08 – MESYUARAT AGUNG TAHUNAN
8.1. Pengelolaan PERSATUAN ini terserah kepada Mesyuarat Agung Tahunan. Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda jumlah ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir di dalam mesyuarat agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.
8.2. Jika korum tidak cukup selepas 30 minit daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat tersebut hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak melebihi 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum masih tidak mencukupi selepas 30 minit daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa untuk meminda undang-undang dan Perlembagaan PERSATUAN dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.
8.3. Mesyuarat Agung Tahunan bagi PERSATUAN hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 hb. Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Tujuan mesyuarat agung tahunan adalah:
a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan dengan perjalanan PERSATUAN dalam tahun yang lalu;
b) Menerima laporan Bendahari Kehormat dan Penyata Kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;
c) Memilih Ahli-ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk tahun yang akan datang; dan
d) Membincang dan membahas usul-usul yang diterima oleh ahli dan diperakui oleh Jawatankuasa dalam Fasal 9.9.11 atau dengan kata lain usul tergempar tidak boleh diperbahaskan dalam Mesyuarat Agung kecuali usul tersebut mendapat sokongan Majoriti Jawatankuasa PERSATUAN.
8.4. Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada ahli yang berstatus aktif sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan berserta dengan agenda mesyuarat. Salinan surat-surat ini juga hendaklah ditampal untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat urusan PERSATUAN atau dipamerkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN yang mengikut alamat di dalam Fasal 2.2.2 dan Fasal 2.2.4.
8.5. Mesyuarat Agung Khas bagi PERSATUAN ini boleh diadakan;
a) Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa, atau
b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu per lima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat PERSATUAN.
8.6. Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.
8.7. Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Kehormat atau dipamerkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat mengikut Fasal 8.8.4.
8.8. Fasal 8.1 dan 8.2 di dalam undang-undang ini berkenaan dengan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas 30 minit dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli itu, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.
8.9. Setiausaha Kehormat hendaklah menghantar kepada ahli atau dipaparkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN satu salinan draf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.
8.10. Tidak ada sebarang usul selain daripada usul yang telah diperakuai oleh Jawatankuasa dalam Fasal 9.9.11 atau dengan kata lain usul tergempar tidak boleh diperbahaskan dalam Mesyuarat Agung kecuali usul TERGEMPAR tersebut mendapat sokongan majoriti dari Jawatankuasa PERSATUAN untuk dibahaskan.
Fasal 09 – JAWATANKUASA
9.1. Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai PERSATUAN hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan setiap dua (2) tahun dengan mengikut kehendak Fasal 5.5.10(h);
a) Seorang Presiden
b) Seorang Timbalan Presiden I
c) Seorang Timbalan Presiden II
d) Seorang Setiausaha Kehormat (dilantik oleh Presiden)
e) Seorang Penolong Setiausaha Kehormat
f) Seorang Bendahari Kehormat
g) Lima (5) orang Ahli Jawatankuasa Biasa
9.2. Pemegang-pemegang jawatan PERSATUAN ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam PERSATUAN ini hendaklah terdiri dari warganegara Malaysia.
9.3. Nama-nama calon untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua Pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua (2) tahun.
9.4. Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian PERSATUAN dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan PERSATUAN mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidak boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi setiap keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan dengan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
9.5. Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga (3) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah dimaklumkan kepada ahli-ahli jawatankuasa dalam tempoh tujuh (7) hari terlebih dahulu sebelum bermesyuarat. Presiden dengan bersendirian atau tidak kurang daripada empat (4) orang ahli jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya satu per dua (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.
9.6. Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Kehormat bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli Jawatankuasa dengan mengedarkan surat pekeliling dan e-mel. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:
a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan dan e-mel kepada tiap-tiap ahli jawatankuasa.
b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan
c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.
9.7. Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.
9.8. Jika seseorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletak jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhi kekosongan itu sehingga Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.
9.9. Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha Kehormat dan Pegawai-Pegawai lain untuk menjalankan urusan PERSATUAN dan melantik Pengurus dan Kakitangan yang difikirkan mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang Pengurus dan Kakitangan kerana cuai dalam tugas, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan PERSATUAN.
9.10. Jawatankuasa boleh menubuhkan/melucutkan/melantik Jawatankuasa Kecil/Komuniti Negeri jika difikirkan mustahak dan munasabah untuk PERSATUAN.
9.11. Jawatankuasa mempunyai hak untuk memperakui atau menolak sebarang usul daripada Ahli PERSATUAN yang dikemukakan kepada jawatankuasa lima belas (15) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung dilangsungkan.
9.12. Jawatankuasa adalah berhak dari masa kesemasa untuk menganjurkan apa-apa aktiviti kepada ahli-ahli atau sebahagian yang dipilih oleh jawatankuasa PERSATUAN.
Fasal 10 – KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI / JAWATANKUASA
10.1. Presiden semasa menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek PERSATUAN bersama-sama dengan Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat. Kewajipan lain atau hak istimewa Presiden bersama Jawatankuasa adalah kuasa untuk melantik atau memecat ahli.
10.2. Timbalan Presiden I hendaklah memangku tugas dan jawatan Presiden semasa ketiadaan Presiden disamping menjalankan tugasnya sendiri dalam bahagian hal-hal pembangunan harta-benda, hubungan antarabangsa dan perhubungan awam.
10.3. Timbalan Presiden II hendaklah memangku tugas dan jawatan Timbalan Presiden I semasa ketiadaannya dan boleh menjalankan tugas Presiden jika ketiadaan Presiden dan Timbalan Presiden I, disamping menjalankan tugasnya sendiri dalam bahagian hal-hal latihan, disiplin (tatatertib), aktiviti, hubungan dalam negeri (yang melibatkan jabatan atau agensi kerajaan, swasta dan lain-lain pertubuhan yang diperakui oleh Kerajaan Malaysia.
10.4. Setiausaha Kehormat hendaklah menjalankan kerja-kerja pentadbiran PERSATUAN mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia juga bertanggungjawab menguruskan hal-hal surat menyurat dan menyimpan semua buku-buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha Kehormat hendaklah menyimpan rekod daftar yang mengandungi butiran peribadi setiap ahli PERSATUAN. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catitan mesyuarat. Setiausaha Kehormat hendaklah dalam masa dua puluh lapan (28) hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan untuk menghantar penyata Tahunan PERSATUAN kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki dibawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966. Ia hendaklah menandatangani semua cek PERSATUAN bersama-sama dengan Presiden dan Bendahari Kehormat.
10.5. Penolong Setiausaha Kehormat hendaklah menolong Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaanya.
10.6. Bendahari Kehormat bertanggungjawab berkenaan dengan semua hal kewangan PERSATUAN. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira- kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek PERSATUAN bersama-sama dengan Presiden dan Setiausaha Kehormat.
10.7. Ahli Jawatankuasa Biasa/Kecil/Komuniti Negeri hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
Fasal 11 – KEWANGAN
11.1. Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang PERSATUAN ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan PERSATUAN, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan Pegawai-Pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.
11.2. Bendahari Kehormat dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 1000.00 (Ringgit Malaysia : Satu Ribu Sahaja) pada satu-satu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Akaun bank itu hendaklah atas nama PERSATUAN.
11.3. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari akaun PERSATUAN mestilah ditandatangani oleh Bendahari Kehormat bersama Presiden dan Setiausaha Kehormat.
11.4. Perbelanjaan yang lebih daripada RM 5,000.00 (Ringgit Malaysia : Lima Ribu Sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih daripada RM 10,000.00 (Ringgit Malaysia : Sepuluh Ribu Sahaja) bagi satu-satu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM 3,000.00 (Ringgit Malaysia : Tiga Ribu Sahaja) bagi satu-satu masa boleh diluluskan oleh Bendahari Kehormat bersama Presiden atau Setiausaha Kehormat.
11.5. Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari Kehormat dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12, UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN ini dengan seberapa segera setelah tamat tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan PERSATUAN.
11.6. Sebarang tuntutan pembayaran atau perbelanjaan atau perjalanan atau penyelengaraan dan lain-lain dalam tahun semasa terhadap PERSATUAN hendaklah dituntut dengan cara menghantar laporan tuntutan bertulis dengan disertakan salinan resit atau bukti-bukti lain kepada Setiausaha Kehormat atau di e-mailkan terus kepada e-mail rasmi PERSATUAN dalam tahun semasa sebelum 31 hb. Disember, kecuali dengan mendapat persetujuan Jawatankuasa yang mana ianya tidak boleh melebihi 31 hb. Mac tahun berikutnya. Sebarang tuntutan pembayaran atau perbelanjaan atau perjalanan mesti mendapat sokongan majoriti Jawatankuasa PERSATUAN di dalam mesyurat jawatankuasa.
11.7. Jawatankuasa PERSATUAN berhak menolak atau mengurangkan jumlah tuntutan daripada jumlah keseluruhan tuntutan yang dibuat setimpal dengan keadaan kewangan semasa PERSATUAN atau yang dikira tuntutan munasabah oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
11.8. Sebutharga berkenaan dengan pembelian atau pembayaran atau penyelengaraan atau perjalan dan lain-lain kepada PERSATUAN mestilah terlebih dahulu menghantar atau menyediakan sebutharga secara bertulis kepada Jawatankuasa. Sebutharga tersebut mestilah mendapat persetujuan atau kelulusan majority di dalam Mesyuarat Jawatankuasa sebelum tuntutan kepada PERSATUAN dibuat. Keputusan untuk meluluskan atau tidak meluluskan segala sebutharga dan tuntutan adalah terletak di bawah bidang kuasa Jawatankuasa PERSATUAN.
11.9. Tahun kewangan PERSATUAN bermula dari 1 hb. Januari dan berakhir pada 31 hb. Disember pada tiap-tiap tahun.
11.10. Mana-mana ahli atau jawatankuasa yang berusaha/menjual/berniaga dan mendapatkan dana atau kewangan dengan mengunakan NAMA atau LAMBANG/LOGO atau TEMPAT di mana aktiviti semasa PERSATUAN sedang dilangsungkan atau dibuat atau berlangsung dikehendaki membayar LOYALTI kepada PERATUAN tidak kurang dari dua puluh peratus (20%) atau yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa PERSATUAN dari jumlah kewangan atau keuntungan yg diperolehi.
Fasal 12 – PEMERIKSA KIRA-KIRA
12.1. Dua orang yang bukannya Pegawai PERSATUAN boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.
12.2. Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa penyata kira-kira PERSATUAN bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit penyata kira-kira PERSATUAN bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa PERSATUAN.
Fasal 13 – PENGAMANAHAN
13.1. Tiga orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh PERSATUAN. Semua harta tetap kepunyaan PERSATUAN akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu Surat Amanah (Deed of Trust).
13.2. Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan PERSATUAN dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
13.3. Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik dalam Mesyuarat Agung.
13.4. Sebarang usaha untuk melupuskan harta PERSATUAN hendaklah diperakuai oleh Jawatankuasa yang dipersetujuai atau dipilih atau dilantik oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
Fasal 14 – TAFSIRAN UNDANG-UNDANG
14.1. Di antara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberi tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
14.2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad, jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.
Fasal 15 – PENAUNG / PENASIHAT
Jawatankuasa boleh jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang difikirkan layak bagi menjadi Penaung dan Penasihat-Penasihat bagi PERSATUAN ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.
Fasal 16 – LARANGAN
16.1. Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah PERSATUAN: Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.
16.2. PERSATUAN atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa-apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan didalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.
16.3. PERSATUAN ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama PERSATUAN atau Pegawai-Pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.
16.4. “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2, Akta Pertubuhan, 1966, tidaklah boleh diberikan oleh PERSATUAN kepada mana-mana ahli-ahlinya.
Fasal 17 – PINDAAN UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN
Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa dua puluh lapan (28) hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.
17.1. Jawatankuasa PERSATUAN wajib atau mesti memaparkan atau mempamerkan setiap pindaan atau perubahan yang akan dibuat terhadap undang-undang dan Perlembagaan PERSATUAN selama tidak kurang dari tiga puluh hari (30 hari) di laman Sesawang Rasmi Pesatuan yang dijelaskan pada Fasal 2.2.4 sebelum Mesyuarat khas atau Mesyuarat Agung dijalankan bagi tujuan semakan dan rujukan ahli PERSATUAN.
17.2. Mana-mana Fasal kecuali Fasal 17.17.3 dan 17.17.4 dalam UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN PERSATUAN adalah dibenarkan untuk dibuat sebarang pindaan atau penambahbaikan daripada Jawatankuasa PERSATUAN yang dibuat dan dipersetujui dengan mendapat sokongan majoriti di dalam Mesyurat Agung tahunan PERSATUAN.
17.3. Pindaan keatas nama persatuan atau Fasal 1.0 mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga (2/3) ahli aktif PERSATUAN yang tinggal dan menetap di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara sahaja yang di buat didalam mesyuarat Agung tahunan PERSATUAN.
17.4. Pindaan keatas Hak, Tanggungjawab dan Batasan Ahli PERSATUAN atau Fasal 5.5.10 (h)(III) mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya dua per tiga (2/3) ahli aktif PERSATUAN yang tinggal dan menetap di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara sahaja yang dibuat didalam mesyuarat Agung tahunan PERSATUAN.
Fasal 18 – PEMBUBARAN
18.1. PERSATUAN ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada dua per tiga (2/3) daripada jumlah ahli aktif PERSATUAN yang tinggal dan menetap di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara sahaja yang di buat di dalam mesyuarat Agung tahunan PERSATUAN yang dipanggil khas kerananya.
18.2. Sekiranya PERSATUAN hendak dibubarkan secara yang disebutkan diatas, maka segala hutang dan tanggungan PERSATUAN yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.
18.3. Pernyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran itu.
Fasal 19 – PENJELASAN / HURAIAN / TAARIF
Mana-mana perkataan yang digunakan di dalam UNDANG-UNDANG DAN PERLEMBAGAAN PERSATUAN yang tidak jelas maksudnya diperincikan di dalam fasal ini.
19.1. PERSATUAN
- Persatuan Radio Amator Melayu Malaysia atau dengan panggilan ringkasnya ASTRA.
19.2. AHLI – Pemohon atau individu yang memohon menjadi ahli ASTRA dengan membayar yuran yang ditetapkan didalam Fasal 6.6.1 dan kemudian disokong dan diperakui oleh Jawatankuasa PERSATUAN serta nama pemohon atau individu tersebut dipamerkan di laman sesawang rasmi PERSATUAN.
19.3. JAWATANKUASA – Jawatan pengurusan tertinggi PERSATUAN yang dipilih atau dilantik daripada empat (4) buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak utara sahaja di dalam Mesyuarat Agung PERSATUAN.
19.4. AGM – Annual General Meeting atau Mesyuarat Agung Tahunan.
19.5. SWAL – Short Wave Amateur Listener
19.6. TUNTUTAN – Tuntutan kewangan kepada PERSATUAN yang diperakaui oleh Jawatankuasa PERSATUAN.
19.7. KERAJAAN MALAYSIA – Agensi kerajaan yang yang diberi kuasa untuk menguruskan urusan perlesenan radio amator di Malaysia

            Disediakan oleh :                                                                                        Disediakan oleh :

(9W2DHL HASBULLAH BIN UMAR)                               (9W2MSD MOHD SHAIFUDDIN BIN ZAKARIA)
           Timbalan Presiden I                                                                    Timbalan Presiden II

                 Disemak dan disahkan oleh :
(9W2DBT DATO’ BAHARI BIN TAIB, DPMP, SMP, PJK)
                              Presiden

No comments:

Kod Etika Ahli Radio Amator

Penafian: Pihak Astra Wilayah Tengah tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kerosakkan atau kehilangan yang dialami disebabkan oleh pengguna-pengguna yang melawat laman blog ini. Semua maklumat yang dipaparkan tidak mengambarkan pendirian ASTRA Pusat dan tidak menganggu mana-mana pihak. Semua maklumat adalah benar melainkan yang tidak benar sahaja.

Hakcipta Terpelihara © 2011 Astra Wilayah Tengah.

Best View: Mozila Firefox ver 3.0.5 above and Internet Explorer 6 and above

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...